Kejayaan jangka masa panjang tindak balas kesihatan awam terhadap pandemik COVID-19 bergantung kepada imuniti penduduk, yang juga dikenali sebagai imuniti kelompok (‘herd immunity’). Untuk mendapatkan imuniti kelompok, kerajaan Malaysia mensasarkan untuk memvaksin lebih daripada 80% penduduk, atau hampir 27 juta orang, pada suku pertama tahun 2022. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telahpun bermula pada akhir Februari 2021. Bagaimanapun, program imunisasi hanya akan berjaya apabila terdapat kadar penerimaan dan liputan yang tinggi.
Walaupun keyakinan global terhadap vaksin COVID-19 semakin meningkat, keraguan dan keengganan menerima vaksin tetap menjadi masalah utama. Untuk menangani cabaran ini, Science Media Centre (SMC) Malaysia dan surat khabar sains, The Petri Dish secara rasminya melancarkan #YakiniVaksin, satu projek kempen kesedaran yang bertujuan untuk melawan mitos dan salah faham tentang vaksin COVID-19. Kempen ini disokong oleh syarikat farmaseutikal Malaysia, Duopharma Biotech Berhad sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin berpendapat ekoran dimomok oleh pelbagai mitos, teori konspirasi dan salah faham yang tersebar meluas tanpa tapisan terutama di media sosial, sebahagian rakyat masih mempunyai tahap kepercayaan yang rendah terhadap vaksin COVID-19: “Kelajuan perkembangan proses penghasilan vaksin COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini serta lambakan salah maklumat di media sosial telah mendorong kesangsian sesetengah masyarakat terhadap vaksin ini.”
“Ketika dunia memerangi wabak COVID-19, usaha memerangi salah fakta adalah cukup kritikal. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkasakan tahap kesedaran orang ramai untuk membezakan antara fakta daripada berita palsu dalam hal pengambilan vaksin COVID-19, ”kata Su Lin.
Melalui #YakiniVaksin, penjelasan pakar mengenai vaksin COVID-19 akan dikumpul dan disampaikan melalui pelbagai format seperti penganjuran webinar, penulisan artikel, lembaran fakta dan infografik bagi menangkis beberapa salah faham yang lazim untuk membantu orang awam memahami vaksin itu dengan lebih baik. Semua maklumat akan dikemaskini dalam bahasa yang mudah difahami.
Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan berkata: “The Petri Dish adalah satu-satunya media sains di Malaysia dan kami berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai vaksin dan menyokong program vaksinasi terbesar dan yang paling kritikal dalam sejarah Malaysia.”
“Tahap literasi sains dalam kalangan rakyat Malaysia adalah masih rendah sehingga ia menimbulkan bantahan atau kritikan terhadap sains. Ini pasti memberi kesan berganda dan akan menggagalkan inisiatif kita semua untuk bebas daripada wabak ini. Justeru, kami sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada syarikat Duopharma yang turut menyokong kempen #YakiniVaksin, “kata Dr Mahaletchumy.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berpendapat, “Sebagai organisasi korporat yang bertanggungjawab, kami menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Semua vaksin COVID-19 yang melepasi penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat dan berkesan. Saya amat mengesyorkan kepada semua rakyat Malaysia agar mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Kami sokong #LindungiDiriLindungiSemua.”
Kempen #YakiniVaksin bermula minggu lalu dengan webinar bertajuk ‘Kenali Vaksin COVID-19’ di mana dua pakar telah dijemput untuk memperjelaskan tentang beberapa salah fakta yang tular mengenai vaksin COVID-19 dalam Bahasa Malaysia. Mereka adalah pakar imunologi, Prof Dr Norazmi Mohd Nor, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia dan pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia. Beberapa salah faham popular yang terjawab termasuklah: Adakah vaksin COVID-19 dihasilkan secara tergesa-gesa? Bolehkah wanita hamil mengambil vaksin COVID-19? Dan adakah vaksin COVID-19 selamat? Sesi FB live itu dikendalikan oleh moderator, Dr Mahaletchumy.
Maklumat lanjut sila hubungi:
Email: info@sciencemediacentremalaysia.com
Mitos Atau Fakta Vaksin Covid-19
Debunking Covid-19 Vaccine Myths (Part 1)
Debunking Covid-19 Vaccine Myths (Part 2)
Kenali Bahasa Vaksin

Terma | Maksud |
Antigen | Bahan asing yang merangsang penghasilan antibodi. Antigen mungkin sebahagian atau keseluruhan virus atau bakteria |
Anafilaksis | Reaksi yang berlaku pada pesakit alergi seperti, sesak nafas, pengsan, kadar degupan jantung yang tinggi selepas dedahan kepada bahan yang menyebabkan alergi. |
Antibodi | Bahan yang dihasilkan oleh badan kita bila terdedah kepada bakteria atau virus untuk melindungi diri kita dari penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tersebut. |
Ko-morbiditi | Keadaan di mana seseorang individu mempunyai dua atau lebih penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung atau penyakit lain. |
Imuniti | Pertahanan atau perlindungan terhadap penyakit jangkitan. Imuniti ini terhasil selepas vaksinasi ataupun jangkitan. |
Kontra indikasi | Situasi di mana sesuatu ubat tidak dapat digunakan untuk golongan tertentu kerana ia boleh membahayakan golongan tersebut. |
DNA | Sejenis bahan genetik yang akan mengarahkan penghasilan protein tertentu. |
mRNA | Sejenis bahan genetik yang akan mengarahkan penghasilan protein tertentu. Bahan genetik virus penyebab Covid-19 merupakan RNA. |
Mutasi | Ralat yang berlaku semasa virus membiak (replikasi). Ralat ini mewujudkan perubahan genetik yang menghasilkan virus yang berbeza sedikit tetapi masih jenis virus yang sama. |
Varian | Virus yang telah mengalami mutasi dikatakan varian. Perubahan ini tidak selalunya mengakibatkan perubahan besar dalam cara virus itu bertindak. |
Vaksin | Bahan yang boleh merangsang penghasilan antibodi untuk memberi imuniti kepada seseorang individu terhadap sesuatu penyakit jangkitan. |
Vektor | Agen yang membawa atau memindahkan sesuatu antigen ke dalam badan kita. Dalam kes vaksin Covid-19, virus yang tidak berbahaya kepada manusia digunakan sebagai vector, iaitu Adenovirus. |
Virus nyahaktif | Virus yang telah dimatikan menggunakan kaedah saintifik tertentu. Virus ini boleh digunakan sebagai vaksin untuk merangsang imuniti. |
Imuniti kelompok | Imuniti di kalangan sesuatu populasi yang boleh dicapai melalui jangkitan semulajadi ataupun vaksinasi. Tahap imuniti ini menghalang jangkitan merebak secara berleluasa. |
Golongan berisiko tinggi | Golongan masyarakat yang berisiko tinggi untuk mendapat sesuatu jangkitan. Ini mungkin disebabkan usia ataupun penyakit kritikal lain yang dialami. |
Liputan media berkenaan vaksin COVID-19
AWANI Pagi (TV)
Astro AWANI
Berita Harian
https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/04/805514/bhplus
Malaysia Gazette
Sin Chew
https://www.sinchew.com.my/content/content_2457348.html
MSN
https://www.msn.com/en-my/news/berita/smc-salur-maklumat-hapus-salah-faham-vaksin/ar-BB1fuSKA
Neonetizen News
The Vibes
Join Science Media Centre Malaysia’s Email List
In Malaysia, science-related topics often take a backseat in the local mainstream media platform. It’s time to put science on the forefront by helping us to help our scientific community to thrive, including increasing the numbers of science journalists in this country.
By clicking submit, you agree to share your e-mail address with the site owner and MailChimp to receive marketing, updates, and other e-mails from the site owner. Use the unsubscribe link in those e-mails to opt-out at any time.
You must be logged in to post a comment.