[KENYATAAN MEDIA] Rujukan Media PANAS! bagi menyokong liputan media mengenai perubahan iklim dilancarkan

MEDIA RELEASE

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2021, Science Media Centre (SMC) Malaysia mengumumkan pelancaran PANAS! iaitu rujukan media digital pertama di Malaysia yang disasarkan khusus kepada golongan wartawan, penulis dan pencipta kandungan Malaysia yang berminat untuk membuat liputan mengenai topik alam sekitar dan perubahan iklim.

Hasil kerjasama Suruhanjaya Tinggi Britain Kuala Lumpur dan EcoKnights, objektif rujukan media PANAS! adalah untuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai kesan perubahan iklim di Malaysia, senarai sumber penting seperti inisiatif tindakan iklim tempatan dan antarabangsa, senarai pakar serta jurucakap dan petua berguna dalam menghasilkan laporan mengenai perubahan iklim di media. Ia turut memberikan panduan dan tips penting untuk wartawan yang berminat dalam topik perubahan iklim khususnya mengenai laporan Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), badan PBB yang menilai ilmu sains berkaitan dengan perubahan iklim. 

Konsep rujukan media ini telah diilhamkan, ditulis dan disediakan oleh ahli-ahli projek PANAS! iaitu Tan Su Lin, Dr Renard Siew, Ili Nadiah Dzulfakar, Dr Law Yao Hua dan Kevin Bathman. Ketua Projek PANAS! Tan Su Lin, yang juga pengasas bersama SMC berkata, “Walaupun liputan media terhadap perubahan iklim di Malaysia lebih bersifat reaktif, namun sekiranya diperkasakan, ia berpotensi untuk memainkan peranan yang lebih proaktif untuk memberi informasi dan inspirasi serta mendorong semua pihak berkepentingan untuk mengambil tindakan bagi mengurangkan impak perubahan iklim.”

“Bagi wartawan yang masih baru dalam laporan perubahan iklim, rujukan media ini memberikan gambaran mengenai latar belakang liputan perubahan iklim di Malaysia, sambil menyoroti beberapa elemen penting dalam liputan perubahan iklim termasuk tips mencari sumber berita tentang perubahan iklim. Harapan kami adalah rujukan media ini akan menjadi pelengkap kepada wartawan tempatan dalam menghasilkan liputan yang berdasarkan bukti dan supaya dalam jangka panjang, ia dapat terus memberi inspirasi kepada penghasilan lebih banyak liputan mengenai perubahan iklim pada masa hadapan.”

Menurut salah seorang ahli PANAS!, Dr Renard Siew, yang juga seorang pakar alam sekitar, “Kandungan rujukan media PANAS! telah ditulis dan disusun oleh sekumpulan pakar dan penyelidik perubahan iklim, serta anggota media profesional dan komunikasi yang berpengalaman, selain wartawan sains. Semua maklumat yang disediakan telah dinilai oleh pakar kandungan yang terdiri daripada wartawan, profesional media dan pakar komunikasi sains.”

Sementara itu, bagi Dr Law Yao Hua, pengarang Macaranga, iaitu sebuah portal kewartawanan yang memfokuskan isu alam sekitar di Malaysia dan Ili Nadiah Dzulfakar, iaitu pengasas Klima Action Malaysia (KAMY), kedua-dua mereka berpendapat, “Kami tahu bahawa wartawan sering mengejar masa dan sentiasa memerlukan sumber yang sahih. Dalam rujukan media ini, mereka boleh merujuk kepada senarai pakar perubahan iklim yang boleh dipercayai serta badan-badan yang berkaitan untuk ditemu ramah, serta senarai sumber-sumber lain seperti dasar iklim nasional dan antarabangsa yang penting, buletin dan jaringan kewartawanan iklim antarabangsa. Walaupun ‘jargon’ perubahan iklim sukar untuk difahami, usah khuatir, kami turut menyediakan glosari mengenai istilah-istilah perubahan iklim dan definisinya untuk rujukan wartawan.”

Adilah Arshad, Editor & Penyelidikan Strategik dan Data di Astro AWANI berkata, “Rujukan media ini adalah ‘game changer’ dalam liputan perubahan iklim di Malaysia dan rantau ASEAN dan ia meletakkan SMC sebagai hab bagi semua pusat komunikasi sains.”

Qishin Tariq Albasrawy, Presiden Institut Wartawan Malaysia (IoJM) pula berpandangan “ini adalah rujukan asas yang bagus untuk wartawan, bukan hanya sebagai permulaan yang berguna bagi mereka yang belum biasa dalam liputan mengenai perubahan iklim, tetapi juga bagi mereka yang ingin mengupas isu ini dengan lebih mendalam dengan menghubungkan wartawan dengan pakar-pakar yang berada di lapangan.” 

Selain itu, rujukan media ini juga telah ditulis dan disusun agar mesra pengguna bagi masyarakat umum yang berminat dengan topik ini. Dikemaskini secara berkala, pengamal media serta pemain industri dialu-alukan untuk memberikan sebarang maklum balas atau cadangan sebagai maklumat tambahan, pembetulan atau cadangan penambahbaikan bagi rujukan media berkenaan.

Dalam mendepani kesan perubahan iklim, pengamal media memainkan peranan penting dalam membantu mempercepat respons terhadap perubahan iklim melalui advokasi dan pendidikan. Melalui PANAS! Cerita Realiti Perubahan Iklim di Malaysia, projek pertama seumpamanya di Malaysia melibatkan media dan wartawan tempatan, SMC telah mengetengahkan 9 kisah realiti perubahan iklim di Malaysia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil pada bulan lalu oleh wartawan, penulis dan pencipta kandungan seperti Nicole Fong, Ashley Yeong, Poorani Kannan, Nimal Raj, Sunesha Munisamy, Dr Nur Hazwani Bahar, Rekha Sevaloga Nathan, Elanggo Munian dan Lim Ann Gee.

Baca maklumat lanjut mengenai Projek PANAS! Cerita Realiti Perubahan Iklim di Malaysia di sini.

MUAT TURUN RUJUKAN MEDIA DI SINI:

%d bloggers like this: