Q&A
Mutakhir ini wujud penularan varian Delta yang kini dilaporkan telah merebak sehingga ke hampir di 100 negara, termasuk Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa dunia sedang dalam tempoh getir mendepani pandemik COVID-19 dengan penularan varian mutasi SARS-CoV-2 paling berbahaya di dunia ketika Ini. Science Media Centre Malaysia mendapatkan penjelasan daripada pakar imunologi dan virologi, Profesor Dr Shamala Devi K.C. Sekaran, FASc mengenai varian Delta B.1.617 serta mutasi daripada varian berkenaan, iaitu Delta Plus.
1. Apakah itu varian Delta? Apakah perbezaannya dengan varian Delta Plus?
Kod genetik virus SARS-CoV-2 mempunyai 30,000 base pairs (C-G dan T-A). Pelbagai varian muncul disebabkan berlakunya mutasi pada kod genetik virus tersebut. Salah satu varian yang tersebar di dunia pada masa sekarang adalah varian Delta.
Varian ini adalah pecahan dari varian B.1.617 yang membawa ciri spike protein dari varian Beta yang berasal dari Afrika Selatan. Ini bermakna ia ada kaitan dengan varian B.1.617 tetapi mempunyai ciri penularan yang lebih tinggi daripada varian sebelumnya.
Delta Plus pula adalah mutasi dari varian Delta dan dikenal pasti dengan ciri-ciri seperti:
- Kadar penularan yang lebih tinggi
- Melekat (binds) pada reseptor sel di dalam paru-paru dan terdapat kemungkinan besar bahawa protein varian ini lebih mudah memasuki sel paru-paru.
- Ia mungkin akan menurunkan tindak balas imun kita.
2. Adakah Malaysia perlu bimbang mengenai kemunculan varian Delta/Delta Plus?
Kes Delta Plus pada masa sekarang adalah sangat tinggi. Ia dijangka akan meningkatkan kadar kemasukan wad (hospitalisation) di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, kebolehjangkitan semula bagi varian ini belum dapat dipastikan. Tetapi, di sesetengah negara, mereka dapati kes ini boleh berlaku.
Dikatakan varian ini lebih mudah menjangkiti golongan dengan simptom yang lebih teruk.
Jika varian Delta atau Delta Plus menular lebih luas, besar kemungkinan lebih banyak varian mutasi akan timbul.
3. Apakah langkah yang diperlukan bagi membendung varian Delta/Delta Plus?
Langkah terbaik adalah dengan mendaftar dan menerima vaksin sepenuhnya (sekurang-kurangnya dua dos). Ini akan dapat menurunkan penularan varian ini. Tetapi rakyat Malaysia masih perlu mengamalkan SOP untuk mengurangkan penularan virus COVID-19, khususnya varian Delta.

4. Bolehkan vaksin melindungi kita daripada varian Delta/Delta Plus?
Ia boleh melindungi masyarakat daripada varian Delta/Delta Plus. Penerbitan di The Lancet mencadangkan bahawa dua dos vaksin boleh memberi perlindungan imun tetapi kenyataan ini perlu disokong dengan lebih banyak data. Satu penyelidikan yang dijalankan di Scotland juga menyokong pernyataan ini.
Chris Robertson, Profesor dari Universiti Strathclyde berkata, walaupun varian Delta mampu menggandakan kemungkinan risiko kemasukan wad (hospitalisation), namun, vaksin boleh menurunkan risiko itu sebanyak 70%.
Data dari Amerika Syarikat menunjukkan dua dos vaksin Pfizer memberi perlindungan 79% terhadap jangkitan dari varian Delta dan vaksin AstraZeneca juga memberi perlindungan sebanyak 79%. Tetapi kesemua data ini perlu ditafsir dengan lebih teliti.
Saya percaya kepada kepentingan pengambilan dua dos vaksin, “some immunity is better than no immunity”.
5. Dengan kemunculan varian Delta/Delta Plus, adakah keperluan untuk dos tambahan (tiga dos?)
Data dari Britain menunjukkan tahap antibodi mungkin kurang dan juga kurang berkesan terhadap varian Delta. Akan tetapi, sedikit imuniti adalah lebih baik daripada tiada imuniti langsung.
Pendapat saya, kesemua data ini hanya menunjukkan tahap antibodi. Tetapi kita perlu tahu bahawa sistem imuniti manusia terhasil secara semula jadi (innate) dan sel T manusia diprogramkan untuk membunuh sel-sel yang dijangkiti virus. Kesemua ini belum lagi dikaji secara mendalam untuk menunjukkan kebolehan sebenar sistem imun kita.
Apa yang diketahui adalah vaksinasi boleh mengurangkan kes dan jangkitan yang teruk serta mengurangkan risiko kemasukan wad (hospitalisation).
**Baca semua catatan terdahulu mengenai COVID-19 di sini: https://sciencemediacentremalaysia.com/tag/covid-19/

Professor Dr. Shamala Devi K.C. Sekaran, FASc. ialah seorang pakar imunologi dan virologi. Beliau juga merupakan Timbalan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Hayat, UCSI University dan felo Akademi Sains Malaysia (ASM).
You must log in to post a comment.