[REAKSI PAKAR] Antara harimau, kucing dan COVID-19

Photo by Raghav Kabra on Unsplash

REAKSI PAKAR

Baru-baru ini dilaporkan seekor harimau Malaya di sebuah zoo di New York, Amerika Syarikat dikesan positif virus COVID-19. Kes ini merupakan yang pertama seumpamanya yang melibatkan seekor harimau dijangkiti virus berkenaan. Kami mendapatkan reaksi Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Abdul Rahman untuk penjelasan lanjut.

Apakah ulasan Prof tentang perkembangan terkini ini?

“Berdasarkan laporan berkenaan, harimau tersebut mungkin dijangkiti oleh pesakit yang tidak menunjukkan tanda jangkitan. Apa pun ini merupakan kes pertama dan adalah wajar kita dapatkan maklumat lanjut bagi mengenalpasti punca jangkitan. Yang penting, harimau yang dikesan positif bagi virus COVID-19 hanya menunjukkan tanda jangkitan yang ringan dan telah sihat sepenuhnya.” 

Adakah terdapat kesamaan genetik antara harimau dan manusia yang mereka juga terdedah kepada penyakit ini?

“Ketika ini, tidak diketahui profil genetik virus COVID-19 yang diperolehi daripada harimau berbanding manusia.”

Baru-baru ini juga ada kes kucing sakit akibat COVID-19 di Belgium dan juga Hong Kong melaporkan kucing ketiga yang positif. Adakah kita sedang melihat trend jangkitan COVID-19 dalam “keluarga kucing”?

“Seperti kita sedia maklum, virus COVID-19 disebarkan dari manusia ke manusia. Laporan pengesanan virus COVID-19 dalam kucing merupakan kes terpencil di mana kucing tersebut terkena jangkitan dari manusia yang disahkan positif COVID-19. Apa yang penting adalah kucing yang dijangkiti dilihat menunjukkan simptom yang ringan dan tidak mengancam nyawa. Ini menunjukkan jumlah virus yang ada pada haiwan tersebut adalah sedikit dan tidak disebarkan. Jadi, kucing tidak boleh dijangkit secara semulajadi dengan virus COVID-19. Dan kucing yang dikesan positif dengan COVID-19 tidak mampu menyebarkan virus tersebut kepada manusia.”

Dengan perkembangan terbaharu ini, bagaimanakah kita harus mengendalikan haiwan, khususnya haiwan peliharaan kita?

“Seperti biasa, amalkan langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan kebersihan yang baik ketika berinteraksi dengan haiwan peliharaan anda, seperti membasuh tangan sebelum dan selepas mengendalikan haiwan, termasuk memberi makanan dan membersihkan tempat tidur mereka. Jika boleh, simpan mereka di dalam rumah.”

Adakah terdapat bukti bahawa haiwan peliharaan, termasuk anjing dan kucing boleh menjadi sumber virus COVID-19 dan menjangkitinya kepada manusia?

“Tiada bukti bahawa virus berkenaan boleh tersebar daripada kucing yang dijangkiti kepada manusia. Berdasarkan informasi yang diperolehi sekarang, risiko untuk itu berlaku adalah sangat rendah.” 

**Semua catatan terdahulu tentang COVID-19 boleh dibaca di sini: https://sciencemediacentremalaysia.com/tag/covid-19/

Leave a Reply

%d