[Q&A] Mengapa terdapat banyak jenis vaksin? Adakah vaksin akan mengubah DNA saya? Adakah vaksin COVID-19 halal?

Mengapa terdapat banyak jenis vaksin? Adakah vaksin COVID-19 halal? (Gambar: rawpixel)

Q&A

Berikut adalah jawapan bertulis kepada soalan lazim vaksin COVID-19 yang dikemukakan dalam sesi webinar bertajuk “Takut Dengan Vaksin COVID-19?” anjuran bersama USIM dan Science Media Centre Malaysia baru-baru ini. Soalan-soalan ini dijawab oleh pakar mikrobiologi klinikal, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, USIM, Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed dan pakar virologi, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, USIM, Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak. 

1. Adakah proses kelulusan vaksin dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Sebelum ini, penghasilan vaksin mengambil masa 10-15 tahun. Tetapi vaksin COVID-19 berjaya dihasilkan dalam tempoh kurang setahun. Ini disebabkan oleh perkembangan teknologi terkini. Antara faktor yang mempercepatkan penghasilan vaksin ialah:

  1. Maklumat genetik virus cepat dikongsikan di jurnal antrabangsa pada bulan Januari 2020. 
  2. Teknologi baru iaitu mRNA telah lama dikaji oleh saintis. Teknologi ini boleh menghasilkan vaksin dengan lebih pantas berbanding vaksin jenis nyahaktif/mati.
  3. Kajian dan pengetahuan tentang virus MERS Cov dan SARS CoV (yang juga dari kumpulan coronavirus) memudahkan kajian
  4. Keadaan pandemik yang sangat dahsyat memberi tekanan kepada banyak pihak. Banyak pihak yang mengeluarkan dana yang besar untuk menghasilkan vaksin. 
  5. Kajian klinikal mudah dilakukan kerana ramai yang sudi menjadi responden. Keberkesanan juga mudah diukur kerana ramai orang dijangkiti pada sesuatu masa. Kajian klinikal vaksin lain mengambil masa bertahun-tahun untuk ‘recruit’ responden

2. Adakah vaksin akan mengubah DNA saya? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Vaksin mRNA mengandungi mRNA iaitu bahan genetik yang masuk ke dalam sitoplasma dan berfungsi untuk mengarahkan penghasilan protein oleh sel manusia. Protein yang dihasilkan ialah serupa dengan bahagian ‘spike’ pada virus SARS-CoV-2, penyebab COVID-19. Selepas menjalankan tugasnya, mRNA tidak bertahan lama dan akan terus dimusnahkan. Ianya tidak masuk ke dalam nukleus dan mengganggu DNA. Vaksin viral vektor pula menggunakan virus lain yang tidak berbahaya (contohnya adenovirus) untuk menjadi pembawa kod genetik ke dalam badan manusia. Vaksin ini tidak mengubah DNA  dan juga tidak menyebabkan kerosakan kekal kepada sel manusia.

3. Adakah vaksin akan berkesan terhadap varian baru COVID-19? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Vaksin menghasilkan respons bersifat poliklonal yang mensasarkan kepada beberapa tempat pada protein spike. Jadi, mutasi pada satu tempat sahaja tidak menjejaskan keberkesanan vaksin kerana sistem imuniti kita masih boleh mengenalpasti protein spike SARS-CoV-2. Kajian dijalankan ke atas varian B117 dari England mendapati bahawa ianya tidak mempengaruhi keberkesanan vaksin keluaran Pfizer. Tetapi kajian masih dijalankan ke atas varian daripada Afrika Selatan: maklumat awal mendapati vaksin kurang berkesan. Jika mutasi berlaku di beberapa tempat pada protein spike, ada kemungkinan vaksin kurang berkesan atau langsung tidak berkesan. Walaubagaimanapun, dengan teknologi baru mRNA, masalah ini akan dapat diatasi. Kandungan mRNA dalam vaksin boleh ditukar dengan mRNA baru (yang menyerupai virus varian baru) dalam masa beberapa minggu sahaja.

4. Mengapa terdapat banyak jenis vaksin? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Penghasilan vaksin bergantung kepada kepakaran dan fasiliti yang ada. Walaupun vaksin dihasilkan dengan kaedah yang berbeza, tujuannya adalah tetap sama iaitu untuk merangsang penghasilan antibodi neutralisasi dan sel memori terhadap virus SARS-C0V-2. Antibodi neutralisasi ialah antibodi khusus yang menghalang jangkitan. Terdapat pelbagai jenis vaksin COVID-19 yang telah dihasilkan. Antaranya ialah jenis vaksin dinyahaktif (contohnya vaksin Sinovac), vaksin mRNA (contohnya Pfizer dan Moderna- kejuruteraan genetik) dan vaksin viral vektor (Sputnik V). Dengan adanya pelbagai jenis vaksin ia memberi peluang kepada negara untuk memilih vaksin yang sesuai bergantung kepada penduduk/fasiliti.

5. Adakah vaksin itu halal? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Gelatin daripada khinzir dan lembu sering digunakan sebagai bahan penstabil di dalam vaksin. Vaksin jenis mRNA tidak mengandungi gelatin. Vaksin-vaksin lain belum memberikan maklumat terperinci tentang kandungannya. Walaubagaimanapun, pihak berwajib akan mendapatkan pandangan ahli agama jika terdapat sebarang permasalahan atau keraguan mengenai status vaksin. Konsep Maqasid Syariah akan digunakan dalam menyelesaikan isu ini. 

6. Adakah saya perlu vaksin jika saya sudah dijangkiti COVID-19? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Selepas dijangkiti COVID-19, sistem imuniti akan menghasilkan antibodi untuk menghalang jangkitan seterusnya. Namun, masih banyak perkara yang belum difahami tentang antibodi terhadap virus penyebab COVID-19. Terdapat laporan tentang jangkitan kali kedua COVID-19 selepas beberapa bulan jangkitan pertama. Walaubagaimanapun jumlah mereka yang mendapat jangkitan kedua adalah sangat sedikit. Justeru, pakar menjangkakan bahawa antibodi yang dihasilkan mungkin hanya boleh melindungi seseorang dalam jangka masa beberapa bulan sahaja. Oleh itu, bekas pesakit COVID-19 juga disarankan untuk mendapatkan vaksin. Ini kerana vaksin boleh membantu meningkatkan imuniti terhadap COVID-19. Vaksin boleh diambil setelah seseorang bebas daripada sebaran jangkitan (termasuk COVID-19). Jika pesakit COVID-19 menerima rawatan ‘convalescent serum’ mereka perlu menunggu sehingga 90 hari sebelum mengambil vaksin.

7. Sejauh mana keberkesanan teknologi mRNA lebih-lebih lagi memandangkan teknologi mRNA adalah baru? (Prof. Datin Dr. Ilina Che Isahak)

Sebenarnya teknologi mRNA telah lama dikaji dalam pembikinan vaksin pencegahan dan rawatan. Vaksin mRNA diuji buat pertama kali tahun 1990. Walaubagaimanapun, ia tidak diguna seluasnya sebab kebimbangan ia tidak stabil. Kemudian pada tahun 1995, Ross & rakan berjaya mengoptimumkan / menambahbaik formula berkenaan. Semenjak itu, vaksin mRNA berjaya dibikin secara sintetik melalui reaksi transkripsi enzim tanpa pembiakan kuman dalam sel. Tiada sel haiwan/ gelatin/ aluminium maka tiada kebimbangan tentang isu bahan tidak halal. Kebanyakan vaksin mRNA memerlukan penghantaran dan penyimpanan proses rantai sejuk.

Kemajuan dalam pembikinan vaksin mRNA: 

  • mRNA bila bergabung bersama bahan kimia (trehalose), ia menjadi lebih stabil selama 10 bulan pada suhu 4 C.
  • mRNA yang diubah suai bentuk (Lyophilised)  stabil pada  5-25 C
  • mRNA yang dilindungi kapsul dapat berlindung daripada degradasi RNase dan menjadi lebih stabil. 

Kelebihan vaksin mRNA daripada vaksin dimatikan (killed vaccine)

  • Tidak penggunaan sel haiwan sebab tiada kultur sel
  • Tiada penglibatan virus hidup
  • Mudah dibuat dengan kuantiti skala besar dan cepat

Saintis telah menghasilkan vaksin Zika dan virus influenza mengguna platform mRNA. Vaksin coronavirus lain seperti Severe Acute Respiratory syndrome (SARS) dan Middle East Respiratory syndrome  (MERS) telah dikaji tetapi kedua vaksin coronavirus tidak diguna seluas sebab SARS dan MERS tidak berpanjangan dan tiada kejadian pandemik. Dalam keadaan pandemik di mana bilangan kes jangkitan dan kematian meningkat berjuta-juta, kita memerlukan vaksin dengan ciri-ciri seperti di atas, serta selamat dan berkesan. 

8. Apakah kesan sampingan vaksin COVID-19? (Prof. Datin Dr. Ilina Che Isahak)

Kesan sampingan selepas suntikan vaksin adalah perkara biasa dan tanda positif. Bermakna tindak balas imun berfungsi. 

Bagi vaksin COVID-19 kesan sampingan yang dilaporkan: 

  • sakit tempat dicucuk 
  • lemah lesu 
  • sakit otot
  • sakit sendi
  • demam
  • sejuk, loya, cirit birit

Simptom biasanya hilang dalam 1-2 hari. Terdapat dua dos vaksin dan kesan sampingan pada dos kedua mungkin lebih teruk daripada dos pertama. Beberapa kesan sampingan anaphylaxis juga dilaporkan di UK dan Amerika. Anaphylaxis adakah reaksi alergi yang cepat dan merangkumi: tekanan darah rendah, pening, kadar degupan jantung cepat, sesak nafas, pengsan. Namun, rawatan cepat boleh disediakan dan pesakit pulih. Tiada kematian dilaporkan akibat anafilaksis selepas suntikan vaksin COVID-19.

Langkah berjaga-jaga yang perlu diambil:

  • Pastikan mereka yang beralergi tidak diberi vaksin mRNA. Mereka yang berisiko tinggi perlu berbincang dengan doktor terlebih dahulu
  • Selepas suntikan diberi di bawah pemerhatian doktor/jururawat, anda diminta berehat 15-30 minit sebelum pulang
  • Vaksinasi dilakukan di tempat yang mempunyai fasiliti/kemudahan kecemasan

9. Bagaimanakah cara untuk mendapat ‘herd immunity’ atau imuniti kelompok? Mengapa ia penting? Apa beza imuniti kelompok melalui vaksininasi berbanding imuniti melalui jangkitan? (Prof. Datin Dr. Ilina Che Isahak)

Tidak semua orang boleh menerima vaksin COVID-19. Kebanyakan Trial Klinikal Fasa III melibat sukarelawan berumur 18 tahun ke atas melainkan Vaksin Pfizer yang menguji sukarelawan berumur 16 tahun ke atas. Dengan ini vaksin COVID-19 disyorkan untuk mereka 18 tahun. Tetapi jika kita boleh mencapai vaksinasi 70% penduduk, kita akan mendapat imuniti kelompok. Peratusan untuk mencapai imuniti kelompok bergantung kepada R-naught iaitu nilai kebolehjangkitan sesuatu microbe. Jika R-naught tinggi, kebarangkalian untuk virus menjangkiti kita adalah tinggi. 

Buat masa ini, kanak-kanak tidak akan menerima vaksin COVID-19 kerana vaksin belum diuji di kalangan kanak-kanak. Walaubagaimanapun, syarikat vaksin kini sedang menjalankan kajian ke atas kanak-kanak. Untuk melindung kanak-kanak, orang dewasa seharusnya menerima vaksin untuk mencapai 70% imuniti dalam komuniti (70% penduduk mesti mencapai imuniti dari virus untuk mencapai herd imuniti). Jika ramai orang mendapat imuniti melalui vaksinasi, maka kuranglah orang dijangkiti dan virus akan berkurangan.

10. Kalau ibu bapa saya (umur>65) mempunyai penyakit darah tinggi, cholesterol tinggi, adakah selamat untuk mereka mengambil vaksin COVID-19? Vaksin manakah yang selamat untuk mereka? (Prof. Datin Dr. Ilina Che Isahak)

Vaksin akan pertama sekali diberikan kepada frontliners dan pekerja dalam bidang kesihatan. Fasa kedua akan diberikan kepada golongan tua (umur >60) dan kepada mereka yang mempunyai penyakit kronik. Vaksin ini akan diberikan dengan percuma untuk semua warganegara. Vaksin Pfizer mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 95%. Sinovac mempunyai keberkesanan yang kurang sikit. Tetapi pihak kerajaan akan memilih dan menentukan vaksin mana yang sesuai berdasarkan keadaan pesakit. Doktor juga akan mengambil kira sejarah pesakit dan orang tua seperti penyakit kronik dan menentukan vaksin yang mana sesuai

11. Adakah vaksin COVID-19 sesuai untuk bayi dan kanak-kanak? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Vaksin disasarkan untuk golongan dewasa kerana ujian klinikal telah dijalankan ke atas pesakit umur 18 tahun ke atas. Syarikat pengeluaran vaksin hanya akan mengeluarkan dan memberi rekomendasi vaksin kepada golongan yang mereka uji sahaja. Mereka tidak menguji golongan bayi jadi mereka tidak akan menyarankan. Pfizer telah menguji golongan umur 12 ke atas jadi kita kena menunggu hasil kajian dalam masa beberapa bulan. Jika disahkan selamat, baru mereka akan memberi rekomendasi kepada penggunaan kanak-kanak. Begitu juga untuk bayi. Mereka perlu membuat kajian ke atas golongan tersebut dahulu baru boleh disahkan untuk penggunaan. Mereka yang sihat boleh divaksin akan disarankan untuk mengambil vaksin bila vaksin sudah ada dalam negara.

12. Mengapa kita berlu mengambil 2 dos vaksin? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Apabila mendapat dos pertama, kita ada ‘primary response’. Selalunya ia mengambil masa beberapa minggu untuk menghasilkan antibodi, tetapi dalam 50% kadar imuniti dan kemudian kita perlu dos kedua untuk mendapatkan ‘secondary response’. Maksudnya apabila dapat dos kedua, badan kita berada dalam keadaan ‘prime’ (bersedia) oleh dos pertama. Apabila dapat pendedahan kedua, badan kita akan mengenal dan menghasilkan antibodi yang sangat banyak. Lepas menerima dos kedua, perlindungan akan menjadi lebih kuat.

13. Mana lebih baik? Vaksinasi atau natural immunity? 

(Prof Madya Nurul Azmawati)

Sebenarnya immunity dari vaksinasi lebih baik dari ‘natural immunity’ atau imuniti semulajadi. Vaksinasi akan menghasilkan lebih banyak antibodi dan sel memori. Sebab itulah walaupun seorang dapat jangkitan, kita masih perlu mengambil vaksin.

(Prof. Datin Dr. Ilina Che Isahak)

Anda harus faham apabila anda mendapat COVID-19, anda akan mendapat penyakit yang teruk. Ia menyerang paru-paru, jantung dan sebagainya. Walaupun seseorang itu sudah pulih, mereka boleh mendapat COVID-19 dalam jangka masa lama. Bermakna anda akan mengalami simptom selepas COVID-19 yang berpanjangan dan mungkin tidak akan pulih seperti sedia kala. 

14. Adakah ia memadai kalau orang lain yang mengambil vaksin kecuali saya?

(Prof. Datin Dr. Ilina Che Isahak)

Sebilangan orang mengatakan bahawa mereka ingin menunggu imuniti kelompok. Kalau semua orang berfikir macam itu tiada siapa yang akan mengambil vaksin. Sekiranya anda mengambil vaksin, anda memberikan perlindungan kepada diri sendiri dan orang lain. Anda tidak boleh mengatakan anda mahu menunggu imuniti kelompok. Tidak boleh mementingkan diri sendiri.

(Prof Madya Nurul Azmawati)

Sekiranya anda masih muda dan sihat anda harus mengambil vaksin supaya anda dapat memberi perlindungan kepada orang lain yang ada alergi. Kita yang sihat yang perlu mengambil vaksin agar dapat melindung orang lain yang lebih lemah daripada kita.

15.  Jika kita sudah ada kawalan imuniti adakah kita masih perlu menjalani PKP? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Pada pendapat saya, tidak perlu ‘lockdown’ tetapi kita tidak boleh kembali ke norma lama. Mungkin kita boleh pergi ke sekolah, atau pergi ke tempat kerja tetapi masih perlu berjaga-jaga kerana perlu ingat, masih ada mutasi varian. Jadi mungkin tidak perlu PKP tetapi masih perlu mengamalkan norma baru.

16. Sejak bermulanya wabak ini, terdapat lambakan berita palsu tentang COVID-19 termasuklah mengenai vaksin. Apa nasihat anda kepada orang awam agar tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita seperti itu? (Prof Madya Nurul Azmawati)

Nasihat saya kepada orang ramai jika mendapat apa informasi yang tidak tepat daripada gerakan anti-vaksin, jangan cepat sangat nak kongsi dengan kawan-kawan. Pastikan ada mendapat sumber yang sahih atau daripada pakar dari yang betul, bukannya anda mendengar maklumat tentang vaksin daripada seorang peguam dan sebagainya. Jadi, anda mesti mendengar dari sumber tepat. Jika ada berita yang kontroversi, jangan kongsi. Kalau tidak pasti jangan kongsi dan sila dapatkan penerangan dari pakar.

Ikuti rakaman penuh webinar “Takut Dengan Vaksin COVID-19?” di sini: https://youtu.be/lR94UJj_47Q

**Baca semua catatan terdahulu mengenai COVID-19 di sini: https://sciencemediacentremalaysia.com/tag/covid-19/

%d bloggers like this: