[KENYATAAN MEDIA] Vaksin COVID-19 beri lebih manfaat daripada mudarat

MEDIA RELEASE

Pengambilan vaksin bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak dari lahir lagi, masyarakat sudah biasa dengan penerimaan vaksin untuk mengelak pelbagai jenis penyakit. Malah syarat pengambilan vaksin sebelum memasuki sesebuah negara telah lama diamalkan seperti vaksin demam kuning untuk negara Afrika, dan suntikan wajib vaksin meningococcal untuk ke tanah suci Makkah atau Madinah di negara Arab Saudi untuk tujuan umrah atau haji. 

Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi & Imunologi) Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Masita Arip, bagaimanapun berpendapat ekoran budaya vaksinasi yang selalunya dikaitkan dengan golongan kanak-kanak sahaja menyebabkan ramai yang masih berasa sangsi.

“Kita di Malaysia ini sudah biasa kalau sebut vaksin sahaja, ia selalunya melibatkan kanak-kanak, jadi orang dewasa tidak biasa. Jadi apabila negara kita hendak memberi vaksin kepada hampir semua populasi atau 80% di Malaysia, ramai orang rasa terkejut dan tidak biasa dengan budaya pengambilan vaksin padahal ini semua adalah untuk menjamin supaya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19. Jadi saya mohon kita kena biasakan budaya menerima vaksin,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Vaksin vs COVID-19: Mana Lebih Mudarat?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Science Media Centre Malaysia baru-baru ini.

Turut senada, pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang berpendapat, seperti pengambilan vaksin meningococcal untuk tujuan umrah atau haji, vaksin COVID-19 juga adalah selamat.

“Sebelum ini kalau kita pergi umrah, kita tidak pun rasa was-was dengan vaksin meningococcal kerana mungkin fikirkan takut tidak dapat memasuki negara Arab Saudi (tanpa mengambil vaksin). Namun kita perlu mengubah pemikiran supaya tidak membuat sesuatu kerana takut kena saman atau tidak boleh masuk Makkah atau Madinah. Sebaliknya sebab kita mengambil vaksin itu adalah untuk tujuan melindungi diri kita sendiri,” katanya.

Ujar beliau lagi, masyarakat juga tidak perlu bimbang terhadap kesan sampingan vaksin COVID-19 kerana ia memberi lebih manfaat berbanding mudarat. 

“Kesan sampingan yang dialami penerima vaksin merupakan perkara biasa yang akan dihadapi oleh individu tersebut. Malah, ia merupakan petanda yang positif bermakna badan penerima sedang bertindak balas dengan vaksin tersebut.”

“Namun jika seseorang itu tidak mendapat kesan sampingan vaksin tersebut, ia juga tidak bermaksud badan seseorang itu tidak memberikan respons terhadap vaksin itu. Ini kerana kesan sampingan itu adalah berbeza mengikut setiap individu,” kata beliau.

Menjawab tentang kegusaran orang ramai mengenai risiko pembekuan darah, ujar Dr Masita, kejadian pembekuan darah hanya berlaku empat kes bagi setiap satu juta dos suntikan vaksin.

“Angka itu hanya meliputi kira-kira 0.0004 peratus daripada jumlah keseluruhan mereka yang divaksin,” katanya. Apa yang lebih penting, tegas Dr Masita, penerima vaksin harus bersikap jujur kepada pegawai kesihatan yang menyaring sebelum mereka mendapat suntikan. Ia bagi memastikan vaksin yang diterima itu selamat dan berkesan terhadap individu tersebut.

“Jadi, kalau pegawai kesihatan bertanya mengenai latar belakang kesihatan, maka kita perlu jujur dan jangan berbohong. Kalau selepas disaring dan didapati tidak dibenarkan mendapatkan suntikan pada hari tersebut ia tidak bermaksud mereka tidak layak untuk divaksinasi. Ini kerana kita hendak pastikan bahawa mereka yang menerima vaksin itu stabil serta untuk mengelakkan tindak balas imun bercampur,” katanya lagi.

Webinar berkenaan adalah sebahagian daripada kempen #YakiniVaksin anjuran Science Media Centre Malaysia dan The Petri Dish yang bertujuan menangkis salah faham mengenai vaksin COVID-19. Kempen ini disokong oleh syarikat farmaseutikal Malaysia, Duopharma Biotech Berhad sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya. Sesi webinar itu dikendalikan oleh Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan yang bertindak sebagai moderator.

Tonton webinar PENUH di sini:

**All previous posts about COVID-19 here: https://sciencemediacentremalaysia.com/tag/covid-19/

Leave a Reply

%d