MEDIA RELEASE
10 April 2021
Kejayaan jangka masa panjang tindak balas kesihatan awam terhadap pandemik COVID-19 bergantung kepada imuniti penduduk, yang juga dikenali sebagai imuniti kelompok (‘herd immunity’). Untuk mendapatkan imuniti kelompok, kerajaan Malaysia mensasarkan untuk memvaksin lebih daripada 80% penduduk, atau hampir 27 juta orang, pada suku pertama tahun 2022. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telahpun bermula pada akhir Februari 2021. Bagaimanapun, program imunisasi hanya akan berjaya apabila terdapat kadar penerimaan dan liputan yang tinggi.
Walaupun keyakinan global terhadap vaksin COVID-19 semakin meningkat, keraguan dan keengganan menerima vaksin tetap menjadi masalah utama. Untuk menangani cabaran ini, Science Media Centre (SMC) Malaysia dan surat khabar sains, The Petri Dish secara rasminya melancarkan #YakiniVaksin, satu projek kempen kesedaran yang bertujuan untuk melawan mitos dan salah faham tentang vaksin COVID-19. Kempen ini disokong oleh syarikat farmaseutikal Malaysia, Duopharma Biotech Berhad sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin berpendapat ekoran dimomok oleh pelbagai mitos, teori konspirasi dan salah faham yang tersebar meluas tanpa tapisan terutama di media sosial, sebahagian rakyat masih mempunyai tahap kepercayaan yang rendah terhadap vaksin COVID-19: “Kelajuan perkembangan proses penghasilan vaksin COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini serta lambakan salah maklumat di media sosial telah mendorong kesangsian sesetengah masyarakat terhadap vaksin ini.”
“Ketika dunia memerangi wabak COVID-19, usaha memerangi salah fakta adalah cukup kritikal. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkasakan tahap kesedaran orang ramai untuk membezakan antara fakta daripada berita palsu dalam hal pengambilan vaksin COVID-19, ”kata Su Lin.
Melalui #YakiniVaksin, penjelasan pakar mengenai vaksin COVID-19 akan dikumpul dan disampaikan melalui pelbagai format seperti penganjuran webinar, penulisan artikel, lembaran fakta dan infografik bagi menangkis beberapa salah faham yang lazim untuk membantu orang awam memahami vaksin itu dengan lebih baik. Semua maklumat akan dikemaskini dalam bahasa yang mudah difahami.
Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan berkata: “The Petri Dish adalah satu-satunya media sains di Malaysia dan kami berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai vaksin dan menyokong program vaksinasi terbesar dan yang paling kritikal dalam sejarah Malaysia.”
“Tahap literasi sains dalam kalangan rakyat Malaysia adalah masih rendah sehingga ia menimbulkan bantahan atau kritikan terhadap sains. Ini pasti memberi kesan berganda dan akan menggagalkan inisiatif kita semua untuk bebas daripada wabak ini. Justeru, kami sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada syarikat Duopharma yang turut menyokong kempen #YakiniVaksin, “kata Dr Mahaletchumy.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berpendapat, “Sebagai organisasi korporat yang bertanggungjawab, kami menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Semua vaksin COVID-19 yang melepasi penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat dan berkesan. Saya amat mengesyorkan kepada semua rakyat Malaysia agar mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Kami sokong #LindungiDiriLindungiSemua.”
Kempen #YakiniVaksin bermula minggu lalu dengan webinar bertajuk ‘Kenali Vaksin COVID-19’ di mana dua pakar telah dijemput untuk memperjelaskan tentang beberapa salah fakta yang tular mengenai vaksin COVID-19 dalam Bahasa Malaysia. Mereka adalah pakar imunologi, Prof Dr Norazmi Mohd Nor, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia dan pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia. Beberapa salah faham popular yang terjawab termasuklah: Adakah vaksin COVID-19 dihasilkan secara tergesa-gesa? Bolehkah wanita hamil mengambil vaksin COVID-19? Dan adakah vaksin COVID-19 selamat? Sesi FB live itu dikendalikan oleh moderator, Dr Mahaletchumy.
Tonton video webinar PENUH di sini
**All previous posts about COVID-19 here: https://sciencemediacentremalaysia.com/tag/covid-19/
You must log in to post a comment.